3 Cara Kawal Kerugian Setelah Buat Kesilapan Dalam Bisnes

3 Cara Kawal Kerugian Setelah Buat Kesilapan Dalam Bisnes

Banyak artikel yang kita baca adalah mengenai cara nak berjaya, cara nak lagi kaya, strategi untuk kembangkan bisnes dan macam-macam lagi.

Baguslah kita fokus pada perkara besar yang akan bantu kita untuk lebih maju kehadapan. Kekuatan akan bantu kita capai impian dan kejayaan yang kita harapkan. Bagaiman pula dengan kelemahan? Apakah harus ditinggalkan, dibiarkan atau disembunyikan?

Adakah semua yang usahawan yang berjaya diluar sana tiada kelemahan? Tidak pernah gagal? Tidak bukan. Kita tahu yang usahawan yang berjaya wajib gagal walaupun sekali.

Adakah yang berjaya ini sudah tidak punya kelemahan? Tidak juga. Sebagai manusia, kita tidak akan lari daripada membuat kesilapan kerana itulah pengajaran yang sejati untuk kita memahami kehidupan.

Lalu, bagaimana harus kita lakukan jika semua perkara yang berlaku dalam bisnes kita seakan tidak kena? Apa yang harus kita buat jika telah buat kesilapan dalam bisnes dan ia adalah satu kerugian yang tidak dapat dibaiki atau diganti.

Berikut adalah tip-tip yang anda boleh lakukan untuk mengawal keadaan.

1- Maklumkan Situasi Buruk Kepada Mereka Seawal Dan Sekerapnya.

Setiap bisnes ada stakeholder masing-masing. Contoh stakeholder adalah pelabur, rakan kongsi, pelanggan, pekerja, media, orang awam dan lain-lain.

Berapa ramai stakeholder yang anda ada bergantung kepada jenis dan saiz bisnes anda. Stakeholderpenting kerana merekalah sebenarnya pendokong bisnes anda.

Tanpa mereka, bisnes anda boleh lingkup. Pasti akan ada kejadian yang tidak diingini dalam bisnes dan anda tidak dapat mengelaknya.

Boleh jadi ia akan mendedahkan kecuaian, kebodohan, dan kelemahan syarikat atau anda sendiri. Mungkin situasi ini sangat memalukan akan tetapi anda tidak boleh mengelaknya.

Cara yang terbaik bukanlah mengendahkannya atau cuba menutupnya. Sesukar mana pun anda untuk berkongsi isu bisnes anda dengan orang lain, mereka harus tahu hal yang sebenar.

Adakan mesyuarat berkala untuk update mereka mengenai situasi terkini bisnes. Mungkin apa yang anda kongsikan bukanlah perkara yang boleh dibanggakan akan tetapi jika anda telus maka mereka akan cuba memahami dan membantu.

Dengan berkomunikasi masalah bisnes anda dengan orang lain, anda mungkin dapat mengelakkan situasi yang lebih buruk daripada berlaku.

Dalam skop bisnes, kepercayaan adalah tulang kepada syarikat dan kepercayaan hanya akan lahir melalui transparensi. Ini adalah perkara wajib yang harus anda lakukan sebagai pemilik.

Berikut adalah langkah untuk memberitahu perkara yang buruk kepada stakeholder sekiranya anda rasa ia adalah perkara yang sukar untuk dilakukan.

  • Buat temujanji atau mesyuarat dengan stakeholder tersebut dan maklumkan yang anda ada berita buruk untuk dikongsikan. Ini akan beri anda dan individu tersebut tempoh atau ruang untuk menyediakan diri  mendengar perkara yang buruk dalam keadaan yang lebih tenang dan bersedia.
  • Apabila tiba waktu untuk bertemu, ingatkan sekali lagi yang anda ada perkara buruk untuk disampaikan.
  • Beritahu mereka yang anda khuatir dengan reaksi mereka setelah mendengar khabar yang tidak menggembirakan ini.
  • Beritahu bagaimana anda berharap mereka dapat menerima apa yang anda ingin sampaikan dan dapat memberikan respon setelah mendengarnya. Ini akan galakkan individu terbabit untuk tidak mudah emosional dan berfikir secara teliti sebelum beri respon.
  • Beritahu perkara buruk yang terjadi tanpa berselindung dan tanpa ada tokok-tambah.

Jika anda jujur dengan informasi anda, mereka akan turut berfikir untuk anda dan menghormati perasaan anda. Rasa hormat hanya akan wujud jika kita jujur dan transparen terlebih dahulu .

2- Jangan Luah Pada Tempat Yang Tidak Sepatutnya.

Mungkinlah bisnes kita tidak sebesar Datuk Vida atau Dato’ Aliff Syukri untuk senstiasa mendapat perhatian media dan orang awam.

Tetapi walaupun mereka ini adalah golongan usahawan yang sukakan publisiti sama ada baik atau buruk. Mereka ini sudah lama merasai susah sehingga kecaman-kecaman orang bukanlah menjadi isu dalam kehidupan mereka lagi.

Meskipun begitu, walupun kita tidak dikenali dalam dunia media, teknologi zaman kini membolehkan semua orang menjadi media kepada kehidupan mereka sendiri.

Dalam erti kata lain adalah selebriti media sosial. Sebagai usahawan, anda harus bijak mengasingkan perkongsian bisnes dengan peribadi. Memang ramai yang guna akaun peribadi untuk berniaga akan tetapi tidak kesemuanya kita perlu kongsi di sana.

Mungkin bisnes kita rugi, mungkin kita buat silap, mungin kita marah atau tidak puas hati dnegan orang, akan tetapi semua perkara dalam bisnes yang buruk biarlah kekal di balik tabir dan hanya kongsikan perkara yang akan bantu bina reputasi bisnes anda.

Mungkin anda fikir anda akan meraih simpati dan difahami sekiranya berkongsi akan tetapi tidak semua yang memahami. Silap haribulan, status anda sendiri yang membuatkan orang tidak yakin kepada anda sebagai usahawan.

Usahawan itu perlu jadi orang yang cekal dan matang. Beajar untuk diam,simpan dan tenang daripada mereka yang tidak perlu dan tidak ada kaitan dengan bisnes anda.

Yang penting, perkara buruk yang telah berlaku anda tidak biarkan sahaja tetapi anda hadam dan belajar daripadanya supaya tidak akan berlaku buat kali kedua.

Banyak mana pun perhatian yang anda akan dapat, akhirnya anda dan team anda yang kena selesaikan, bukan mereka yang like, komen, share status luahan anda.

Mana satu status yang lagi elok? A- “Sedihnya buat sales hari ini, tak laku pun, orang pun tak ramai”…..atau B- “Alhamdulillah, setakat ini je rezeki hari ini, harap esok Allah murahkan rezeki lagi dan lagi”….Anda pilih sendiri. Orang tidak beli barang anda kerana simpati semata tetapi sebab rasa percaya pada reputasi.

Satu perkara yang buruk akan kekal diingatan orang walaupun beribu kebaikan telah anda beri atau tunjuk sebelum dan selepasnya. Maka, beringatlah.

3-Maafkan Diri Sendiri Dan ‘Move On’.

Jika sudah buat dalam bisnes sehingga kerugian dan kemusnahan tidak dapat diundur, mungkin anda akan rasa menyesal.

Penyesalan mungkin ambil masa berminggu-minggu, bulan hingga ke tahun. Sememangnya, kesilapan kita adalah tanggungjawab kita jadi anda harus fikirkan kesannya terhadap anda, bisnes anda dan mereka yang terlibat sama.

Kesilapan yang dibuat mungkin tidak boleh diundur jadi anda harus mengakuinya, menerimanya, mempelajarinya, menebusnya, memohon maaf jika perlu seikhlasnya dan maafkan juga diri sendiri untuk apa yang telah berlaku.

Muhasabah dan cuba untuk bermula sekali lagi. Menangi kepercayaan orang yang telah berputus asa terhadap anda.

Jangan genggam dan pendam kesilapan anda tanpa ada sebarang perubahan dan pembetulan.

Mulakan fasa baru dalam bisnes dan kehidupan. MOVE ON. Ramai usahawan yang telah melalui fasa kritikal ini mengatakan yang mereka tidak menjalani hidup dengan penyesalan sebaliknya gunakan penyesalan tersebut sebagai motivasi untuk diri buat yang lebih baik. Buang ego dan malu tidak bertempat jauh-jauh.

Orang bisnes harus tahu untuk bermuka tebal.  Anda bukan budak-budak lagi. Apabila anda jatuh, andalah yang bangunkan diri anda sendiri, bukan orang lain.

Berhenti memegang perasaan negatif dalam tempoh yang lama. Ingatlah, semua orang ada buat silap kerana kita semua ada kelemahan. Kawal diri dan teruskan berjalan ke hadapan, maka anda adalah usahawan yang berjaya.

Leave a Reply