Apa Sebenarnya Yang Pelanggan Harapkan Daripada Syarikat Anda

Apa Sebenarnya Yang Pelanggan Harapkan Daripada Syarikat Anda

1-Berkebolehan Dan Berkeupayaan

Ini adalah ciri-ciri pertama yang mereka akan lihat. Apabila mereka menghubungi syarikat anda, tidak kisahlah jika mereka berhubung dengan unit khidmat pelanggan atau HR dan sebagainya, mereka mengharapkan yang anda boleh melayan mereka dan memberikan apa yang mereka mahukan.

Tiada apa yang boleh menghampakan pelanggan sekiranya anda tidak mengetahui atau tidak dapat menjawab pertanyaan mereka apatah lagi jika ia adalah soalan asas mengenai syarikat.

Anda patut tahu apa yang syarikat anda lakukan dan bagaimana syarikat boleh membantu pelanggan. Jangan asyik jawab ‘Tidak Tahu’. Itu pemusnah kredibiliti syarikat.

2-Sentiasa Berkhidmat Dengan Konsisten.

Tidak kisahlah syarikat anda menjalankan bisnes yang bagaimana. Pelanggan tidak akan kekal atau setia dengan syarikat yang tidak konsisten dalam menjalankan perkhidmatan atau operasinya.

Pelanggan tidak suka jika mereka membeli sesuatu berdasarkan apa yang diiklankan atau cara mereka diyakinkan akan tetapi mendapat produk atau servis yang berlainan daripada gambaran.

Ibarat jauh panggang dari api, pelanggan akan rasa tertipu dan akan marah. Hal ini kerana, membeli adalah mengenai kuasa besar pelanggan hasil daripada membuat keputusan.

Keputusan dibuat daripada apa yang dilihat, didengar dan diberikan oleh pihak penjual. Jika pelanggan tidak mendapat apa yang dijanjikan, mereka akan tertipu dan kepercayaan terhadap syarikat akan musnah.

Pastikan syarikat kotakan apa yang dikata supaya tidak menjejaskan kredibiliti syarikat dan tidak timbul isu yang berulang antara syarikat dan pelanggan.

3-Menjaga Nilai Profesional.

Bisnes adalah tentang keupayaan menjaga hubungan antara syarikat dan pelanggan. Mereka perlu sentiasa dihormati oleh anda dan layanan anda menentukan tahap mereka menghormati pihak syarikat.

Walaupun mungkin ada situasi dimana pelanggan yang bersalah, anda tidak harus mudah melatah dan harus cuba mengekalkan kadar layan dan hormat anda.

Bisnes tidak harus datang selepas emosi. Sentiasa tenang dan rasional dalam menyelesaikan masalah dan pastikan pelanggan dapat lihat yang anda prihatin terhadap mereka dan situasi yang dialami. Cuba cari penyelesaian yang terbaik untuk kedua-dua pihak.

4-Kepantasan Dan Ketangkasan Dalam Menyelesaikan Masalah.

Apabila pelanggan sudah mula bersuara, membuat aduan dan sebagainya, mereka mengharapkan anda dapat memberi penyelesaian dengan segera.

Jangan ambil mudah walaupun perkara itu kecil. Pada perspektif pelanggan, penangguhan atau sikap syarikat melengah-lengahkan tidak akan diterima sama sekali.

Anda harus menjadi pakar kepada bisnes anda sendiri jadi setiap masalah yang timbul pasti anda tahu bagaimana ia patut bermula.

Pastikan pelanggan ada akses terus kepada pihak syarikat dan jabatan yang bertanggungjawab untuk mereka mengajukan pertanyaan dan mengadukan permasalahan.

5-Jelas,Terang,Transparen

Mana-mana individu pun pasti tidak gemar apabila masalah atau isu yang patut diselesaikan dengan mudah dan cepat menjadi kompleks.

Tidak perlu menyukarkan prosedur dan kerenah birokrasi yang tidak perlu. Kadang-kadang, masa dan tenaga yang terbuang yang buatkan mereka bertambah marah, bukannya isu yang timbul pada awalnya.

Pastikan anda berupaya untuk sekurang-kurang memberi mereka jangka masa bila masalah mereka akan diselesaikan. Pastikan anda berkomunikasi dengan baik dan cuba sedaya upaya untuk selesaikan.

Beri penjelasan yang memuaskan agar mereka faham bagaimana syarikat sedang menangani masalah mereka. Walaupun yang bermasalah itu adalah pihak syarikat, berlakulah jujur dan transparen untuk menangani isu yang timbul.

Apabila syarikat transparen, pelanggan akan rasa yang syarikat mengambil serius permasalahan mereka. Apabila mereka sedar yang mereka ditipu, isu yang kecil boleh menjadi krisis yang besar.

Kadang-kadang, mereka sudah mengetahui situasi sebenar syarikat, cuma mahu melihat reaksi syarikat dan menilai sama ada untuk terus mempercayai anda atau berhenti daripada menjadi pelanggan.

Yang paling penting, jangan putar belit fakta menjadi ‘auta’ dan sebaliknya. Kata orang, “Honesty is the best policy”.

6-Menjamin Dan Terjamin.

Ini adalah keinginan semua pelanggan. Mereka mahukan syarikat menjamin keselamatan dan kemaslahatan mereka dan buatkan mereka rasa terjamin menjadi pelanggan anda.

Sentiasa tepati janji dan perbaiki kelemahan yang ada dari masa ke semasa. Pastikan anda menjaga kebajikan dan keselamatan pelanggan dan sentiasa amanah dalam memberikan perkhidmatan.

Leave a Reply