Bisnes atau Makan Gaji – 6 Persoalan Yang Seringkali Dibelenggu Oleh Bakal Usahawan

Bisnes atau Makan Gaji – 6 Persoalan Yang Seringkali Dibelenggu Oleh Bakal Usahawan

Mutakhir ini, ramai sahabat seusiaku memohon pendapat dan pandangan tentang perancangan kewangan. Kebanyakan mereka baru bergraduasi dan memulakan kerjaya masing-masing.

Saya tidak lah arif dalam bidang pengurusan kewangan cuma izinkan saya kongsi dapatan ilmu yang saya perolehi agar ramai yang memperoleh manfaatnya.

1 – “Bisnes VS Makan Gaji Yang Mana Paling OK?”

Acapkali ditanya yang mana lebih bagus di antara makan gaji dan berbisnes. Jawapannya ialah kedua-duanya bagus. Yang penting anda mencari pendapatan dari sumber yang halal.

Untuk yang berbisnes, tanamkan mentaliti imigran dalam diri anda. Berniagalah bersungguh-sungguh. Jangan lupa untuk tetapkan gaji anda dan membuat caruman di KWSP. Hal ini bagi memudahkan urusan anda dalam membuat pembelian rumah dan aset kelak.

Untuk yang bekerja makan gaji, semai benih pelabur dalam diri anda. Wujudkan sumber pendapatan yang lain. Pepatah Tamil ada mengatakan, “Sebatang pokok getah tidak akan menjadi sebuah estet.” Satu sumber pendapatan tidak menjamin anda untuk menjadi kaya. Oleh itu, untuk menjadi kaya anda perlu mempunyai banyak sumber pendapatan.

2 – “Pelaburan Yang Mana Paling Banyak Untung?”

Persoalan yang biasa dilontarkan kepada saya, “Antara banyak-banyak pelaburan, yang mana paling menguntungkan?” Sudah pasti jawapannya ialah pelaburan ke atas diri di mana Return of Investment (ROI) ialah infiniti. Labur duit dalam ilmu pengetahuan dahulu.

Kalau nak tahu pasal pelaburan, melaburlah dulu dalam ilmu pelaburan. Hadiri seminar pelaburan dan baca buku-buku pelaburan. Dari ilmu yang diperolehi, anda akan yakin untuk menentukan instrumen pelaburan mana yang paling sesuai dengan anda dan yang paling menguntungkan.

3 –  Insurans Kesihatan (Medical Card)

Merujuk kepada piramid perancangan kewangan Islam yang terdiri daripada tiga lapisan, bahagian tapak di mana secara logiknya merupakan kawasan yang paling besar dan penting merupakan elemen perlindungan diikuti dengan simpanan dan di atas sekali merupakan elemen pelaburan.

Selalu ditekankan kepada rakan-rakan bahawa usia semakin meningkat dan kos perubatan juga meningkat. Tapi malangnya, taraf kesihatan akan makin merosot di kala usia meningkat. Sekiranya anda seorang yang bijaksana, pasti anda akan sediakan payung sebelum hujan.

Peruntukkan bajet untuk ‘medical card’ anda. Ingat, kalau anda tiada bajet untuk pembayaran insurans anda setiap bulan, mampukah anda ada bajet apabila kecemasan berlaku kelak?

Kepada yang sudah ada benefit medical dari syarikat, ambil juga pelan medical sendiri. Jangan berharap pada syarikat anda. Kita tak tahu sampai bila kita akan bekerja di syarikat itu.

4. “Sesuai Ke Untuk Saya Beli Kereta Sekarang?”

Sekiranya anda ingin membeli kereta, harga kereta yang ideal untuk anda ialah 12-15 bulan gaji anda atau bayaran bulanan yang ideal ialah 15%-20% gaji anda. Jangan terus beli kereta yang lebih mahal dari itu.

Banyak kos tersembunyi yang anda perlu ketahui seperti cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan yang perlu ditanggung. Lagi mahal harga kereta anda, lagi tinggi kos tersembunyi yang perlu anda tanggung. Rujuk artikel ini , sebab musabab kenapa ramai anak muda terutamanya, graduan baru diisytiharkan bankrap.

5 – “Macam Mana Pula Saya Nak Beli Rumah?”

“Macam mana aku nak beli rumah ni? Semua mahal-mahal belaka.” Ini merupakan luahan yang biasa saya dengar dari rakan-rakan. Jawapan yang selalu diberi ialah cari rumah yang boleh anda beli bukan rumah yang anda idami.

Jikalau anda bergaji bawah RM2,500 anda boleh beli rumah kos rendah yang berharga bawah RM100,000. Tak percaya masih ada harga rumah macam ini? Buka laman sesawang Mudah.my

Pesan guru saya, “Jangan beli rumah pertama untuk didiami, kerana ia takkan jadi rumah terakhir anda. Hal ini kerana semakin lama anda bekerja, semakin tinggi gaji anda dan semakin mahal harga rumah yang mampu anda beli nanti.

Sentiasa ada mentaliti bahawa setiap rumah yang mahu dibeli akan akhirnya dijual, jadi faktor lokasi amat penting ketika mahu membeli rumah nanti.”

6 – “Saya Dah Pening Kerja. Jadi, Bila Pula Masa Sesuai Untuk Saya Pencen?”

Antara soalan yang kerap kali saya tanya kepada rakan-rakan ialah, “Nak kerja ni sampai bila? Sampai pencen ke? Kalau tak, apa pelan kewangan anda nak berhenti kerja awal? Kalau nak kerja sampai pencen, berapa wang pencen nak ada?”

Nampak pelik bukan? Baru bekerja sudah fikir nak bersara. Ketahuilah bahawa ini merupakan salah satu cara untuk anda rancang hidup anda.

Anda akan lebih produktif apabila anda mempunyai perancangan hidup sendiri kerana anda tahu apa hasil atau keputusan yang anda inginkan. Rancang ‘Financial Freedom Account’ anda supaya nanti anda boleh kekalkan gaya hidup anda walaupun anda sudah pencen.

“Begin with the end in mind is one of the 7 habits of highly effective people habit.” – Steven Covey

Penulisan di atas hanyalah panduan yang saya pelajari dan lakukan. Lain orang lain pandangannya. Tiada yang betul, tiada yang salah.

Menulis hanya untuk menyampaikan pandangan yang berlainan.

sumber : http://www.majalahniaga.com/bisnes-atau-makan-gaji.html

Leave a Reply