Kemahiran Memimpin Ini Bakal Membantu Anda Menyelesaikan Masalah Perniagaan Persis Seorang Pakar!

Kemahiran Memimpin Ini Bakal Membantu Anda Menyelesaikan Masalah Perniagaan Persis Seorang Pakar!

Langkah menuju kejayaan lazimnya dipenuhi dengan cabaran dan halangan yang tidak disangka. Kebanyakan usahawan yang berjaya pastinya menempuhi onak dan duri dalam menjayakan perniagaan masing-masing.

Usahawan-usahawan yang berjaya dilihat lebih banyak membaiki lompong-lompong kerosakan dalam perniagaan berbanding mengembangkan perusahaan mereka.

Semua ini demi meraih kejayaan yang diidamkan selari dengan pepatah “berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Ayuh kita pelajari kemahiran-kemahiran yang menjadi kunci kejayaan dalam mengepalai sesebuah perniagaan.

1 – Profesional Dalam Semua Hal

Ketua yang terbaik tidak akan hilang sifat bersahaja (cool) walaupun dalam keadaan yang membenarkan seseorang itu untuk bersifat kelam-kabut.

Sifat ini memainkan peranan yang penting terutamanya dalam menjana pertubuhan sesebuah pasukan dalam perniagaan. Hal ini secara tidak langsung meletakkan anda di mata pekerja sebagai seorang yang mampu untuk mengetuai pasukan tersebut.

Paling penting, dengan amalan sikap profesional ini melayakkan anda dihormati oleh semua tenaga kerja serta pelanggan-pelanggan yang dikasihi.

2 – Elakkan ‘Upacara’ Menuding Jari

Apabila masalah timbul, menjadi lumrah bagi manusia untuk menyalahkan orang lain berbanding menyemak kesalahan diri. Seperti lagu “Bangau Oh Bangau”, punca sesuatu masalah itu tidak akan bertemu titik penamat sekiranya masing-masing menuding jari.

Oleh itu, masa yang terbuang daripada ‘upacara’ menuding jari tersebut lebih baik diisi dengan perbincangan yang lebih teratur dan sistematik untuk mencari jalan penyelesaian.

Hal ini akan membina hubungan yang lebih akrab di antara ketua dan pekerja sekiranya bersama-sama berganding bahu menurap jalan yang rosak itu!

3 – Mengumpul Maklumat

Kepesatan teknologi sememangnya membantu dalam perkembangan perniagaan. Oleh itu, gunakan peluang yang ada ini untuk melihat dan mengenal pasti tingkah laku atau ragam pelanggan.

Ketua atau pemimpin yang berjaya ialah seseorang yang mampu menggabungkan banyak fakta dan mengaplikasikannya pada masa akan datang sebagai langkah penyelesaian kepada sesuatu masalah dalam perniagaan.

Pemimpin yang sekadar membuat ramalan tanpa tindakan pastinya akan dicaras oleh pesaing yang jauh maju ke hadapan. Rugi!

4 – Positif! Positif! Positif!

Berurusan dengan pemikiran negatif hanyalah meletakkan anda sebagai pemimpin di kelas yang terbawah. Hal ini begitu kontra dengan pemimpin yang melihat sesuatu yang negatif itu sebagai ‘peluang’ untuk meningkat maju dalam perniagaan.

Seorang pemimpin yang baik akan bersama-sama dengan pekerjanya lain dalam sesi menjana idea (brainstorming). Pemimpin yang hebat tidak menyelesaikan masalah berseorangan malah memerlukan sokongan yang padu dari pekerjanya yang lain.

Sekiranya anda melihat sesuatu yang negatif itu sebagai ‘peluang’ dan menjadikan pekerja anda sebahagian daripada penyelesai masalah, pastinya anda akan menemui keseluruhan bagi keuntungan anda dalam perusahaan yang dijalankan.

Ingat, pemimpin itu sifatnya memimpin! Bukan mengarah semata-mata.

SUMBER : http://www.majalahniaga.com/kemahiran-memimpin-ini-bakal-membantu-anda-menyelesaikan-masalah-perniagaan-persis-seorang-pakar.html

Leave a Reply